Visitor

Click Nuffnang or Advertlets Make Money

CLICK MAKE MONEY

Ahad

Faradhiya tidak mencari cinta

RIAK wajahnya tidak sedikitpun mencerminkan ada kelukaan yang sedang bersarang dalam hatinya. Alunan bicara yang dilontarkan tidak dibiarkan hanyut mengikut emosi, malah pelakon putih melepak itu dilihat cekal dan tabah tatkala berkongsi kisah cintanya yang tidak kesampaian.
Farah Dhiya Mohd. Amin atau mesra disapa sebagai Faradhiya mengakui bukan mudah baginya untuk merawat luka di hati lebih-lebih lagi perhubungan yang dijalinkan sudah hampir mencecah usia empat tahun.
Bukan sahaja merasai kehilangan yang amat mendalam, Faradhiya pada awalnya turut mengakui terduduk dengan perpisahan itu kerana jauh dalam sanubarinya masih terbuku lagi perasaan sayang kepada si dia yang diharapkan menjadi pasangan sehidup semati.
“Saya memang tidak pernah terfikir tentang perpisahan itu kerana semasa kami bersama, saya hanya nampak dia dan bagi saya dialah yang akan menjadi pasangan hidup saya.
“Bila jadi begini, saya memang terduduk sekejap dan bertarung dengan perasaan sendiri untuk mencari kekuatan dan untuk menerima apa yang telah berlaku. Saya memang serius dengan dia dan dengan tempoh percintaan yang agak lama, saya sudah merasakan bahawa dia sebahagian daripada hidup saya,” curahnya tentang rahsia hati buat pertama kali kepada media ketika ditemui pada majlis Pertunjukan Fesyen Green Cheongsam di The Weld, baru-baru ini.
Diajukan pula punca sebenar perhubungan itu berakhir, Faradhiya membuka lagi jendela kisahnya. Ia bukan angkara orang ketiga, tetapi perbezaan yang terlalu ketara antara mereka berdua menyebabkan masing-masing mengambil keputusan untuk menamatkan hubungan.
Perbezaan yang ketara secara tidak langsung bertukar menjadi penghalang dan acap kali mereka bertentangan pendapat. Perselisihan faham pula seakan-akan menjadi rutin kepada mereka berdua.



 
Berbicara lanjut, pelakon berusia 27 tahun itu mengakui dia bukan insan yang mudah diajak untuk berjumpa dengan keluarga kekasih melainkan sudah betul-betul yakin dan selesa dengan perhubungan yang dibina.
“Saya jenis orang yang susah hendak berjumpa dengan keluarga kekasih saya dan saya akan elakkan untuk mengaturkan pertemuan tersebut terutama apabila hubungan yang dijalinkan itu masih baru.
“Bukan mahu menyombong diri, tetapi itulah saya. Pada saya, jika sudah melibatkan keluarga, perasaan bimbang akan muncul dalam diri sekiranya apa yang dihajatkan tidak menjadi kenyataan,” ujarnya yang pernah berjumpa dengan keluarga bekas kekasihnya itu.
Menyelak lagi lembaran silam pelakon bertubuh langsing itu, sebelum ini dia juga pernah menjalinkan hubungan dengan seseorang lagi lelaki selama empat tahun dan hubungan itu bagaimanapun berakhir begitu sahaja sebelum dia menemui cinta baru dua tahun kemudian yang juga berakhir tanpa sebarang ikatan yang sah.
Tidak percaya cinta jangka panjang
Selepas melalui dua kegagalan bercinta, Faradhiya memutuskan sudah tidak percaya terhadap hubungan jangka panjang memandangkan usianya kini sudah 27 tahun.
“Saya sudah malas untuk mula bercinta semula. Lepas ini kalau ditakdirkan jatuh cinta lagi, saya tak mahu bercinta lama-lama. Tempoh dua tahun sudah cukup sebab saya tidak mempunyai banyak masa lagi. Kalau nak lama-lama, alamatnya jadi anak dara tua,” katanya sambil tertawa.
Bagaimanapun, Faradhiya menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali mencari cinta kerana itu bukan dirinya.
“Saya boleh cari kawan, tetapi mencari cinta itu susah, lebih-lebih apabila mahu mencari orang yang benar-benar sesuai. Itu semua bukan perkara mudah. Kalau dari awal lagi memang sudah tidak boleh, baik jangan jalinkan hubungan yang serius.
“Saya akui saya senang untuk suka kepada seseorang, tetapi untuk timbul perasaan sayang dan cinta itu sukar. Lagipun saya memerlukan kepercayaan 100 peratus sebelum boleh mencintai seseorang,” tuturnya.
Menyentuh tentang ciri-ciri lelaki idaman, Faradhiya mengimpikan lelaki yang benar-benar boleh menggoncang jiwa wanitanya, seorang yang budiman dan memiliki sifat kejantanan.



 


Terus-terusan bercakap mengenai kriteria lelaki pilihan, anak bongsu daripada dua beradik itu bertegas tidak akan bahkan tidak pernah menyukai lelaki yang mudah meninggikan suara terhadap dirinya.
“Rasanya sebab saya anak manja dalam keluarga. Saya juga mahukan seorang lelaki yang melayan saya bak permaisuri kerana apabila sudah bergelar berkahwin, memang isteri itu adalah permaisuri di hati suami.
“Bercakap soal jodoh, kalau boleh saya tidak mahu bakal suami bekerja sealiran dengan saya. Saya tidak mahu bercakap besar, tetapi sebagai seorang artis, saya tahu bersih dan kotornya industri kita.
“Namun kalau saya ditakdirkan bertemu jodoh juga dengan sesama artis, saya reda,” katanya lagi.
Kembali dengan album baru
Selepas puas menggali kisah cintanya, persoalan disorotkan pula kepada bidang asal yang membawa nama Faradhiya masuk ke aliran seni, dunia nyanyian.
Popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati beberapa tahun lalu, lagu single Faradhiya bertajuk Kau Telah Pergi ciptaan dan lirik oleh Julfekar baru sahaja mula berkumandang di corong-corong radio.
“Lagu itu kebetulan memang terkena pada batang hidung saya dan jika dihayati dengan teliti, liriknya amat menyentuh perasaan.
“Saya berkata begitu kerana semasa proses rakaman, ramai yang berada di dalam studio rakaman mengalirkan air mata semasa mendengar saya menyanyikan lagu itu,” ujarnya.
Selain single itu, album mini Faradhiya akan siap sepenuhnya menjelang Mac depan dan kini hanya tinggal dua buah lagu sahaja yang masih belum dirakamkan.
“Tajuk album itu kemungkinan besar Kau Telah Pergi dan mengandungi lima buah lagu kesemuanya,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan